Hari ini, 24.9.2012, 4.32 petang. Cuaca hari ini mendung dan sejuk.
Aku berasa sungguh letih dan pilu. Perutku berbunyi dan lidahku mula terliur apabila melihat lauk yang akan dijamah bersama nasi sebentar nanti. Namun, aku masih menuggu nasi untuk masak sepenuhnya. Dalam 2-3 hari ini, aku merasakan bahawa diriku seperti hilang harapan laksana pahlawan yang kehilangan tujuan untuk bertempur di medan perang.
Hari ini juga, jiwaku agak bercelaru dan perasaanku tidak tenteram. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, mengapa aku boleh menulis sesuatu seperti ini. Hal ini disebabkan tiadanya seseorang mahupun kenalan yang aku dapat kongsikan permasaalan yang aku hadapi sekarang. Sebagai langkah alternative untuk memulihkan jiwa dan perasaanku maka aku terpaksa menulis catatan ini.
Aku melihat keluar tingkap bilik ku. Memerhatikan awan yang bergerak pantas di tiup angin yang agak pantas berlari di angkasa sambil memikirkan masalah yang dihadapi oleh diriku. Mungkin ramai yang tidak percaya bahawasanya aku telah banyak berubah semenjak aku berpisah dengan keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Awan kelihatan semakin menebal di angkasa. Semakin lama semakin menebal lalu tercurahlah titisan-titisan air yang lama kelamaan semakin banyak bilangannya. Lalu tersebutlah dia sebagai hujan ,turun sebagai rahmat dari Tuhan Yang Maha Esa.
Suhu semakin sejuk. Begitu juga perasaanku. Sejuk dan kaku ditelan masa yang tidak akan sesekali berhenti. Adakah aku akan terus menjadi begini untuk seumur hidupku? Adakah Allah SWT telah melupakan diriku lantaran memberikan masalah-masalah seperti yang aku hadapi ketika ini? Ataupun adakah menerusi perasaan takut dan lemah ini yang menyebabkan daku diredhai dan diterima taubat daku? Ataupun adakah aku hanya bermimpi di senja hari? Iaitu diriku kini telah semakin jauh daripada hidayah Tuhanku? Adakah perasaan seperti ini yang dinamakan penyakit hati?
Aku terus memerhatikan langit. Air hujan semakin sedikit. Lama-kelamaan lenyap setelah habis membasahi bumi. Disebalik awan-awan hitam yang mengandungi wap-wap air yang sedang menunggu perintah dari Tuhanku Yang Maha Bijaksana untuk turun ke bumi sebagai rezeki kepada makhlukNYA, kelihatan sedikit sinaran dan cahaya bola api yang menerangi bumi pada siang hari.
Mengapakah baharu sekarang aku memerhatikan keindahan seperti ini? Adakah selama ini aku tidak perasan mahupun tidak mengambil sebarang ikhtibar dan pengajaran akan setiap yang berlaku di dunia ini? Ataupun aku sekadar membutakan mataku daripada melihat fenomena-fenomena alam yang terlalu biasa berlaku di dunia ini?
Lalu aku pun terfikir seketika. Fikiranku, begitu juga mindaku, mulai tenang. Turut dirasai juga oleh hati dan perasaanku. Semakin lama aku memerhatikan alam, semakun bertambah tenang hati dan fikiranku. Mungkin inilah yang dinamakan hidayah dan petunjuk dari Tuhanku. Walaupun keadaan di muka bumi Moscow sebentar tadi adalah gelap dan semakin malap dek hilangnya sebahagian besar sinaran dari bola api gergasi ekoran terjadiya fenomena alam yang digelar Hujan. Akan tetapi, penglihatanku dan mindaku pantas berubah susulan melihat satu keindahan dan mesej yang telah tersembunyi dari penglihatanku setelah selama ini aku tersasar dari JalanNYA. Aku melihat bahawa walaupun hujan lebat mahupun angin kencang yang mengakibatkan pergerakan awan kian laju sehingga berkumpul dan membentuk gumpalan-gumpalan awan yang sangat besar yang turut menutupi ruang langit di tempatku berada ini, tetapi cahaya mataharu tetap teguh memancarkan sinarannya yang tetap dapat kelihatan menerusi celaha-celahan awan yang kian berubah menjadi air-air hujan.
Fenomena ini telah menyedarkan diriku bahawasanya, walaupun duniaku semakin gelap disebabkan dugaan dan cabaran yang kian mengancam imanku, akan tetapi, cahaya dan petunjuk ILLAHI tetap bersamaku dimana jua daku berada. Insya allah.
Akhirnya, telah tiba masanya untuk daku menyembah Tuhanku yang maha berkuasa lagi maha bijaksana. Aku bersyukur pada Allah SWT kerana walaupun aku brseorangan ketika penulisan ini, tetapi aku tetap dapat meluahkan perasaanku yang akhirnya aku mengambil keputusan untuk memberanikan diri menghadapi masalah tersebut. Insya allah.
Karya yang ditulis tanpa paksaan dan ikhlas dari hati mampu menenagkan jiwa seseorang penulis. Subhanallah.





No comments:
Post a Comment